Saturday, August 8, 2009

Baju Pengantin Mak Andam











Tajuk Novel : Baju Pengantin Mak Andam
Karya : Areila Sahimi
Penerbit : Kaki Novel
Terbitan : 2009
Halaman : 524 mukasurat
Harga : rm18.00


Aleeya dan Zain berjumpa di majlis perkahwinan pelanggan Kak Ana. Mereka asalnya bukannya sebulu. Namun kalau Zain dah menghulurkan salam perkenalan, Aleeya pun tak adalah nak jual mahal sangat. Jalan Ajerlah. Sebab Aleeya bukan jenis orang yang sombong tak bertempat.

Aleeya dan Zain bermula sekadar kawan biasa, kemudian mereka mula masuk fasa teman tapi mesra. Zain kata sayang. Zain kata cinta. Tapi Aleeya blur tak tahu nak kata apa sebab dia tak tahu apa yang dia rasa. Yang dia tahu dia fobia untuk jatuh cinta sebab takut kene tinggal, dia takut kecewa macam pernah dia lalui sebelum ini. Dia jadi sangat keliru.

Tiba-tiba badai datang melanda. Dari teman tapi mesra jadi musuh yang langsung tak boleh tengok muka. Jauh di mata, perlukah jauh di hati juga? Namun ribut taufan itu, rindu tetap bertandang di hati, sayang sudah sedia bertenggek di jiwa. Kenapa dibina tembok ego di antara dua hati ini jika bahagia itu sudah berada di depan mata?

Lalu siapakah yang harus mengambil inisiatif untuk menyelamatkan hubungan ini? Biar simpul dileraikan, biar kusut yang dilembutkan, biar yang serabut dirapikan, Biar jadi wangi macam sediakala. Aleeya? Zain? Kak Ana? Rozy? Azizul?

..................................................................

Novel cinta ni hanyalah kisah cinta biasa saja sepertimana novel-novel cinta yang lain. Bermula dari e-novel, cerita ini telah diangkat menjadi senaskah novel menemui pembaca dengan kelainan gaya bahasa yang sempoi dan bersahaja. Bisa membuat pembaca tersenyum dan tergelak sendiri menatap bait-bait di dalam novel ini. Namun begitu ada kalanya juga perjalanan ceritanya agak slow dan meleret. Walaupun novel ini karya pertama dari penulis baru namun ia tidak mengecewakan pembaca terutama dari golongan remaja mahupun yang sedang asyik bercinta. Semangat kenegerian jelas terserlah bila penulis sering menggunakan dialek Ipoh yang mudah difahami pada awal penceritaan. Novel ini sesuai sangat sebagai pembacaan ringan kepada pembaca yang inginkan hiburan dan melepaskan stress.

Aleeya disuruh menggantikan Kak Ana menjadi mak andam 'terjun' di majlis perkahwinan Harlina. Di dalam kelam kabut menyiapkan pengantin perempuan, Aleeya 'dipinjam' pula oleh pengantin lelaki bagi membetulkan sampin. Setelah membetulkan sampin pengantin lelaki, pengapit pengantin lelaki pula mengada-ngada supaya sampinnya dibetulkan juga. Mahu tak mahu Aleeya terpaksa ikutkan saja karenah mereka walaupun hati menggumam. Di sinilah bermulanya detik perkenalan antara Aleeya dan Zain.

Tingkah laku Aleeya memang kerek, ada ketikanya agak kasar berbahasa kau aku saja pabila berbicara. Namun tetap jua mencuit hati Zain untuk mengenali Aleeya dengan lebih dekat. Niat di hati Zain, perkenalan dengan Aleeya biarlah diteruskan dengan ikatan hati yang lebih serius lagi. Namun Aleeya seakan pura-pura tidak mengerti walaupun hatinya juga sudah terpalit sedikit getaran perasaan terhadap Zain. Mungkin hatinya masih serik dan terasa sakit akibat dipermainkan oleh si bekas kekasih, Cikgu Azizul. Usaha Zain untuk mengajak Aleeya berkongsi hati dipandang sepi oleh Aleeya. Malah Aleeya menganggap yang Zain cuma berlawak. Kalau diikutkan memang antara Aleeya dan Zain ni cakap tak mengandungi unsur-unsur romantik langsung. Kerek, sempoi dan lawak habis bahasanya. Macam mana tu!...

Bila hati dah suka semuanya indah belaka. Zain tekad untuk memenangi hati Aleeya. Dalam selamba berbual Zain menyuakan lawak-lawak romantis dengan harapan agar Aleeya memahami isi hatinya. Lama kelamaan hati seorang Aleeya terpaut jua. Kasih yang disemai dalam diam semakin mekar pabila mereka terpaksa berpisah buat seketika kerana Zain ditugaskan ke Langkawi selama beberapa bulan. Dari situlah badai rindu melanda hati Aleeya.

Nak dijadikan cerita ni lebih mencabar, Azizul yang telah mengecewakan Aleeya suatu ketika dulu muncul kembali menagih kasih yang lalu. Walaupun hakikatnya Azizul telah selamat mendirikan rumahtangga bersama Lily di atas airmata kekecewaan Aleeya, kini Azizul datang kembali. Pada Zain diceritakan semua kegelisahan hati. Dari Zain juga diperolehi semangat untuk menguatkan diri. Ditambah pula Aleeya tidak sanggup untuk mengecewakan hati Lily yang datang merayu padanya supaya melepaskan Azizul. Secara tidak sengaja hubungan Lily dan Aleeya pula menjadi rapat seperti adik dengan kakak. Pada Aleeya pula menjadi tempat Lily mencurahkan isi hati dan segala masalah rumahtangganya dengan Azizul. Aleeya yang tulus bersahabat dengan Lily cuba menyelesaikan masalah mereka.

Pertemuan Aleeya dengan Azizul di Restoran Nasmir bagi menyelesaikan masalah antara Azizul dan Lily telah disalah faham oleh Zain. Beberapa babak drama Aleeya-Azizul yang disaksikan oleh Zain amat menyakitkan hati lalu telah menyalah anggap bahawa Aleeya ingin menyambung semula kasih yang telah putus bersama Azizul. Zain mengambil keputusan untuk menyepikan diri. Namun bila Aleeya dan adiknya bertandang ke Langkawi untuk menghabiskan cuti bersamanya, Zain sudah tidak dapat mengawal api cemburunya lagi. Pergaduhan pun meletus. Namun begitu saya tidak dapat merasai api kemarahan Zain pabila setiap dialog yang dilakarkan selalu saja mengandungi unsur kelakar.

Pergaduhan kerana salah faham itu akhirnya memisahkan mereka. Zain terlalu menurutkan hati yang luka lalu membawa diri. Walaupun Aleeya cuba untuk menjelaskan hal yang sebenarnya namun Zain tidak mahu mendengar. Sekali lagi Aleeya dilanda kecewa. Setelah ketiadaan Zain barulah Aleeya mengetahui dan yakin bahawa hatinya juga telah dibawa pergi oleh Zain. Barulah dia memahami bahawa dia juga menyintai jejaka itu.

Setelah dua tahun barulah hati seorang Zain terdetik untuk mendekati Aleeya semula. Perasaan bersalah kerana salah faham terhadap Aleeya menghantui dirinya. Tetapi dia tidak tahu bagaimanakah cara untuk menyambung kembali hubungan yang telah putus. Pada Kak Ana diharapkan menjadi orang tengah. Namun kemunculan Zain bersama Zahira di butik Seri Pengantin telah membuatkan Aleeya pula diselubungi salah faham. Aduhai... bila kisah cinta ini nak habis ye. Dapatkan novel ini di toko-toko buku berdekatan.

Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin