Saturday, April 3, 2010

Bukan Tak Sudi











Tajuk Novel : Bukan Tak Sudi
Karya : Mimie Afinie
Penerbit : KarnaDya
Terbitan : 2010
Halaman : 553 mukasurat
Harga : rm23.90


Kembali lagi menemui peminat novel cinta, Mimie Afinie menghadiahkan sebuah kisah kelakar romantis yang syahdu untuk tatapan semua. Memang tidak kecewalah kalau membaca karya dari penulis ini. Gaya penulisan yang penuh dengan omelan suara hati begitu mencuit hati saya. Omelan yang lucu dan tidak keterlaluan munasabahnya. Saya kira novel ini novel terbaik dari penulis. Cukup lengkap semua rempah ratus asam garam omelannya. Setiap ayat pasti membuatkan saya tersenyum sendiri. Nak ketawa geli hati pun ada. Pendek kata ceritanya best lah.

Anis Zulaikha tidak pernah mempunyai teman lelaki walaupun memiliki rupa paras yang cantik. Umur sudah 25 tetapi hatinya masih kosong. Kerana itu ibunya bercadang untuk menerima saja pinangan dari Syariff, kawan sekampung Anis. Budak Anis ni seorang yang suka berangan-angan dan mengumpamakan orang dengan watak-watak di kaca tv. Bila ibunya hendak menyatukan dia dengan Syariff terus dia terbayangkan Syariff Dol dalam filem Bujang Lapok. Watak samseng kampungan begitu masakan dia hendak.

Bos di pejabat Anis, si Al juga meminati Anis. Walaupun pada mulanya Anis menolak tetapi lama kelamaan hatinya melekat jua dengan Al. Ditambah pula Anis takut akan keputusan ibunya yang masih mahu menjodohkan dia dengan si Syariff sekiranya dia tidak mempunyai pilihan hati sendiri. Namun ada sesuatu yang mencurigakan terhadap diri Al pada pandangan Anis. Al selalu menutup telefonnya sewaktu lepas waktu pejabat. Bila hari cuti pun Al begitu susah sangat untuk dihubungi. Bila ditanya kenapa Al memberi alasan bahawa ibunya tinggal bersamanya dan tidak suka dia bergayut dengan perempuan lama-lama. Alasan yang tidak masuk akal untuk orang bercinta tu!

Setelah teman serumah Anis, Zura mendirikan rumahtangga dan kini Salma pula akan mengikut jejak Zura dan berpindah ke rumah lain. Hendak tak hendak Anis terpaksa juga berpindah ke rumah abangnya, Fuad. Fuad mempunyai seorang kawan karib yang diibaratkan Anis sebagai kembar siam abangnya, Omar. Ke mana-mana saja mereka selalu bersama. Bahkan mereka juga menjalankan perniagaan bersama. Apa yang tidak menyenangkan Anis ialah Omar ni selalu memandangnya dengan pandangan yang tajam. Maklumlah.. si Omar ni memang ada hati kat si Anis ni. Cuma Anis saja yang tak mahu layan. Paling kelakar sekali dikatanya Omar ni kuat nafsu dan muka Omar bukan macam Arjun Rampal tapi macam Arjun Rempah bin Kari. Aduhai...!

Sememangnya Omar nekad untuk memikat adik sahabat baiknya. Tetapi dia tidak tahu macam mana. Sesak nafasnya bila mendapat tahu si Anis sudah ada teman lelaki. Namun Fuad memujuk Omar supaya bertenang. Selagi Anis belum berkahwin Omar masih mempunyai peluang. Lalu bagaimana dan apakah lagunya Omar harus dendangkan agar Anis berpaling kasih padanya. Gelihati betul dengan gelagat Omar yang sanggup merasuah Fuad agar membantunya memikat Anis. Sehingga sanggup dia menjadi khadam Fuad dengan membasuh pakaian dan cadar katil Fuad selama sebulan. Sedangkan Anis masih begitu jua... tidak sedikit pun nampak tanda-tanda untuk lembut hati terhadap Omar.

.............................................................................

Dia tidak pernah mencari. Malah tidak pernah terfikir pun untuk punya teman lelaki. Belum masanya. Lagipun dia tidak mahu terburu-buru. Maklumlah, bukan senang nak cari lelaki yang betul-betul sesuai dan kena dengan jiwa. Tersilap pilih nanti... merana seumur hidup.

Tetapi, bila emak asyik mendesak dan Syariff pula datang merisik, nak tak nak, dia terpaksa memikirkan hal itu dengan serius. Risau juga kalau-kalau emak terima risikan lelaki itu. Emak pun satu hal juga. Macamlah tak ada lelaki lain... Si Sarip Dol tu juga yang dia nampak.

Al datang tepat pada waktunya dan di saat dia amat memerlukan. Al ni kira okeylah. Baik, bertimbang rasa dan boleh bertolak ansur. Orangnya pun boleh tahan. Sedap mata memandang. Rasa-rasanya, daripada Si Syariff tu... lima kali lebih baik Al. Tetapi masalahnya... hatinya tidak ada pada lelaki itu.

Kalau bukan Al, siapa pula? Omar, rakan serumah merangkap rakan kongsi perniagaan merangkap kembar siam along tu? Hah! Minta simpang. Kalau Omar yang gatal lagi merenyam tu lah... jangan harap dia nak terima. Daripada berkahwin dengan lelaki itu... lebih baik dia jadi anak dara sampai ke tua. Dia sanggup. Bukanlah nak jual mahal sangat... tapi dia tak nak tanggung risiko.

Kalau bukan Syariff, Al atau Omar, siapa pula agaknya yang akan jadi pilihan hati Anis Zulaikha? Untuk mengetahui jawapannya, sama-samalah kita ikuti ‘BUKAN TAK SUDI’.







Related Posts :



No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin