Sunday, April 11, 2010

Cinta Si Kucing Parsi










Novel : Cinta Si Kucing Parsi
Karya : Marwilis Haji Yusof
Penerbit : Alaf 21
Terbitan : 2010
Halaman : 503 mukasurat
Harga : rm19.90

Novel dari penulis lama ini bukanlah hanya berkisar pada kisah cinta semata-mata. Ia juga sebuah kisah masyarakat kampung dalam menangani pelbagai masalah semasa yang timbul. Berlatar belakangkan sebuah perkampungan Melayu kisah ini menceritakan suka duka hidup seorang bomoh jodoh yang telah kematian isteri tercinta. Pak Johari sibuk melayan 'pesakit-pesakit' yang datang meminta bantuannya untuk mencarikan jodoh mahupun supaya jodoh mereka berpanjangan sedangkan diri sendiri masih solo tidak mampu tertolong. Menarik juga bila dapat mengetahui bagaimana Pak Johari mengubati pesakit dengan cara mandi bunga, menggunakan limau purut malah ada juga yang menggunakan minyak pengasih. Sekiranya bernasib baik dalam sehari Pak Johari mampu mengumpul sebanyak enam ratus ringgit. Itu baru sehari. Kalau sebulan berapa ye. Lumayan sungguh. Kekayaan hasil bomoh yang dimiliki Pak Johari sering juga menjadi buah mulut orang kampung. Malah ada juga yang tidak senang hati. Lalu disebarkan gosip bahawa apa yang diamalkan oleh Pak Jo itu adalah syirik.

Al kisahnya di kampung itu ramai pula lelaki-lelaki bujang yang ingin berpasangan samada yang muda mahupun yang tua termasuklah imam di kampung itu sendiri. Gadis-gadis yang masih solo di kampung itu pun ramai juga. Leha adalah antara gadis cantik yang paling mendapat perhatian. Ramai yang jatuh hati dan memasang angan-angan untuk memiliki Leha. Akhirnya Leha jatuh ke tangan orang lain setelah bercinta bagai nak rak dengan Jali. Setelah berkahwin Leha berpindah ke bandar meninggalkan Jali seorang diri makan hati. Kini setelah rumahtangga yang dibina tidak berkekalan Leha pulang semula ke Kampung Merbau untuk meneruskan hidup.

Berita kepulangan Leha ibarat suatu peristiwa yang penting oleh penduduk kampung terutama sekali para jejaka solo. Semua memperkatakan kecantikan yang masih lagi dimiliki Leha walaupun sudah menjadi janda. Angan-angan dipasang untuk memiliki. Leha menjadi tajuk utama perbualan di warung-warung kedai kopi. Antara yang ingin mencuba nasib ialah Imam Dahlan dan Pak Dagang Ramli sendiri, veteran-veteran solo yang menjadi kawan rapat Pak Johari. Jali, Sudin, Shukur dan Lat juga tidak ketinggalan. Namun adakah Leha mahu memilih antara mereka? Ataupun sudah serik dengan perkahwinan pertamanya yang membawa kegagalan? Atau mungkin juga Leha masih menaruh harapan pada Jali?

Di hati Jali memang masih menyimpan perasaan sayang terhadap Leha. Maklumlah... cinta mati. Namun sepanjang ketiadaan Leha, Bibah lah yang selalu menghiburkan hatinya. Terdetik di hati Jali untuk menilai keikhlasan Bibah. Sebenarnya Bibah dan Leha pernah beradu kecantikan untuk memiliki Jali. Oleh kerana Leha lebih cantik dari Bibah maka Jali memilih Leha. Cinta berdasarkan rupa paras tidak akan berkekalan. Kini Leha telah kembali dan Jali harus menentukan bahawa keputusannya kali ini adalah tepat dan terbaik untuk dirinya.

..........................................................................

Sinopsis:

Menempuhi alam perkahwinan menjadi impian setiap insan. Tidak kira sama ada teruna, dara, duda ataupun janda. Begitulah halnya dengan Pak Johari. Selaku bomoh jodoh yang terhebat, khidmatnya sering mendapat perhatian ramai. Biarpun dia boleh memilih di antara wanita yang datang berubat dengannya untuk dijadikan pengganti arwah isterinya, namun dia sama sekali tidak berbuat demikian. Sedangkan ramai yang datang mendapatkan khidmatnya kini bergelar 'kucing parsi'. Istilah ini merujuk kepada pengantin baru yang sering membelai dan dibelai.

Pada masa yang sama, penduduk kampung dikecohkan dengan kepulangan Leha, janda muda yang dahulunya menjadi kekasih kepada seorang pemuda kampung yang bernama Jali. Sejak kepulangan Leha, Jali tidak sekalipun mengendahkannya. Terhina dengan sikap Jali, Leha membuat percaturan untuk bernikah dengan orang lain. Namun, takdir tidak menyebelahinya.

Atas rasa tanggungjawab kerana tidak memberitahu yang pilihan Leha iaitu Imam Dahlan sebenarnya telah mempunyai orang lain, Pak Johari cuba melamar Leha. Namun, ia tidak semudah yang disangka. Ada juga yang cuba memiliki Leha dan melaga-lagakan Pak Johari dengan Jali. Biarpun akhirnya Leha berjaya disunting, persoalannya siapakah yang berjaya menjadi 'kucing parsi' Leha? Adakah Pak Johari ataupun Jali?










Related Posts :



2 comments:

Blog Widget by LinkWithin