Tuesday, September 15, 2009

Seharum Cinta Lestari











Tajuk Novel : Seharum Cinta Lestari
Karya : Ramlah Rashid
Penerbit : Buku Prima
Terbitan : 2009
Halaman : 618 mukasurat
Harga : rm19.90

Perasaannya terus dibelenggu peristiwa silam. Kenang-kenangan itu bertindak kejam, menjadikannya gadis yang tidak langsung mengharapkan kehadiran lelaki. Melihat Hanan Alaa diperlakukan sehina itu dan sekejam itu, dia menjadi betah hidup sendirian tanpa sekelumit keinginan untuk berganding dengan lelaki. Jauh sekali bergantung pada kaum itu. - Lestary.

Biar siapa pun dia, siapa pun tunangnya, yang pasti di hatinya gadis itu tetap abadi. Dafiezudin mahu melestarikan Lestary sebagai gadis pertama dan mungkin juga terakhir. Dia sedar, merampas milik orang boleh dianggap merompak. Kerja merompak berdosa besar. Dia tahu. - Dafiezudin.

Dalam tenang memandu, Lestary gelisah. Doanya tidak makbul. Barangkali dia tidak ikhlas meminta! Marahnya pula. Dalam ikhlas mahu belajar mencintai Razrim, Dafiezudin mencucuk duri berbisa. Terlalu sakit dia. - Lestary.

Dafie tidak mungkin membuang orang yang dia sayang begitu saja. Dia tidakkan mudah melatah walaupun digempur badan. - Razrim.

........................................................................................

Setiap karya Ramlah Rashid pasti memuaskan hati saya. Dengan laras bahasa yang indah membuai perasaan membuatkan saya menghayati cerita ini ayat demi ayat. Garapan watak Lestary, derita jiwa yang ditanggung selama ini seakan-akan dapat dirasai dan berkesan di hati. Selain itu, penulis juga memaparkan kisah cinta tiga segi di antara Razrim-Lestary-Dafiezudin, kisah penculikan dan juga kemurnian ikatan persahabatan yang pasti membuatkan cerita ini tambah menarik. Pendekata di dalam novel ini banyak rempah ratus dan mesej tersendiri yang digabungkan oleh penulis di dalam satu novel.

Cerita ini membawa kita menghayati gelodak perasaan si gadis Lestary yang telah mengalami kepayahan hidup sejak kecil lagi. Ibunya dianggap orang asing dan tidak diterima sebagai menantu di rumah orang tua ayahnya. Namun kerana cinta Hanan Alaa si gadis Dubai yang hidup dalam serba kemewahan rela meninggalkan semua kekayaan untuk mengikut jejaka yang dicintainya seorang kelasi kapal pulang ke tanah air lalu menghambakan diri dan menelan cemuh dan caci mertua. Namun pengorbanan Hanan Alaa cumalah sia-sia dan berakhir dengan suatu trajedi yang tidak mungkin dapat dilupakan Lestary.

Setiap trajedi yang berlaku begitu menyayat hati dan tersimpan kemas di dalam diri Lestary. Sesungguhnya tidak mudah untuk Lestary melupakan semua itu. Malah ianya sering menghantui diri Lestary sehingga membuatkan Lestary hampir gila dan patah jiwa. Namun mulianya hati Lestary pabila setelah bertahun-tahun lamanya berkelana seorang diri tanpa kedua orang tua di tanah Dubai kini Lestary memadamkan dendam di hati untuk kembali ke tanah tumpah darahnya sendiri. Dan sanggup pula menziarahi si nenek yang selama ini telah menganiaya ibunya sehingga menemui ajal. Setiap ruang di dalam rumah Wan Bada, setiap inci tanah di halaman rumah Wan Bada mengungkit kembali semua kenangan pahit yang dialami. Sungguh tidak mudah untuk Lestary melupakannya. Namun kehadiran Lestari di rumah Wan Bada sedikit sebanyak mengubat penyesalan yang tidak berkesudahan di dalam diri Wan Bada. Rupanya Wan Bada menyesali juga atas apa yang telah diperlakukan selama ini.

Kembali semula ke tanah air Lestary bertemu semula dengan si duda Razrim yang sejak dulu begitu menyimpan perasaan terhadap dirinya. Demi mengenangkan jasa Mak Liah dan Pak Hasnol yang telah membesarkannya setelah kematian ibunya dan sanggup menyayanginya seperti ahli keluarga sendiri huluran kasih Razrim diterima jua dengan sebuah ikatan pertunangan.

Bekerja sebumbung dengan Dafiezudin membuatkan hati Lestary resah gelisah. Ada sesuatu di dalam diri Dafiezudin yang membuatkan kasih yang cuba disemai untuk Razrim di dalam hatinya hampir terhakis. Di dalam diri Dafiezudin sudah memang pasti sebuah cinta untuk Lestary. Namun apalah daya Dafiezudin pabila mengetahui hakikat bahawa Lestary telah bertunang dengan kawannya sendiri. Kalau dulu Dafiezudin pernah tewas dalam percintaan pabila Sharlene memilih Razrim sebagai pasangan cintanya. Dan kini Dafiezudin pasrah lagi bila Lestary juga terlebih dahulu memilih Razrim sebelum bertemu dengannya. Namun cinta itu Dafizudin simpan kemas di dalam hati mengharapkan sesuatu keajaiban bakal terjadi.

Salah satu tujuan Lestary pulang ke tanahair ialah untuk mencari si pemilik hati dan jantung ibunya yang didermakan dahulu. Ditakdirkan penerima derma itu adalah Dafiezudin sendiri. Sungguh tidak terduga oleh Lestary bahawa jejaka yang secara diam-diam telah bertakhta di dalam hatinya ini adalah pemilik jantung dan hati ibunya. Secara tidak langsung Lestary merasa begitu dekat sekali dengan Dafiezudin. Dan Lestary pasti dirinya amat mencintai Dafiezudin. Lalu apa yang harus dilakukan terhadap Razrim yang sering menagih janjinya untuk bersama sehidup semati. Lestary bingung. Pada Tania, Lestary menceritakan segala kemelut hati tanpa menyedari si Tania juga menyimpan perasaan terhadap Dafiezudin. Oh, cinta yang banyak cabang rupanya ni.

Dalam mengharungi kemelut cinta, keadaan menjadi kecoh apabila Lestary tiba-tiba diculik oleh keluarga ibunya dari Dubai. Dafiezudin, Razrim dan Tuan Kamal berusaha mencari dan menyelamatkan Lestary. Namun semuanya tidak berhasil. Tiga bulan sudah berlalu khabar berita dari Lestary masih tidak diperolehi. Razrim dan Dafiezudin masing-masing menganyam kecewa kerana cinta yang tidak kesampaian. Kehilangan Lestary rupa-rupanya telah merapatkan kembali persahabatan Razrim-Dafiezudin. Masing-masing cuba untuk menguatkan semangat antara satu sama lain. Razrim cuba untuk mengubat kecewa Dafiezudin dengan menyuakan Zaliya sebagai ganti. Namun dengan halus Dafiezudin menolak. Dalam pada itu Tania juga cuba mendekati Dafiezudin dengan cinta. Kerana terharu dan belas kasihan Dafiezudin cuba untuk menerima Tania walaupun hatinya tetap berharap Lestary akan kembali.

Kekecewaan yang ditanggung Dafiezudin membawa kesan ke atas jantungnya yang tidak berapa kuat bertahan. Dafiezudin dimasukkan ke hospital kerana keadaannya yang bertambah tenat. Di dalam kritikal Razrim memberi semangat kepada kawannya supaya bertahan. Dalam diam dia berjanji untuk menyerahkan Lestary kepada Dafiezudin sekiranya Lestary kembali walaupun hatinya sendiri hancur. Demi seorang kawan dia sanggup berkorban.

Tania yang selalu setia berada di sisi Dafiezudin memberi semangat supaya Dafiezudin terus cekal melawan penyakit. Kata-kata perangsang bahawa Lestary akan kembali itulah satu-satunya yang menjadi penguat diri Dafiezudin. Tania sedar akan hakikat itu. Walaupun Tania menyintai Dafiezudin namun hati Dafiezudin tetap milik Lestary tidak berubah-ubah. Sehinggalah di suatu hari Dafiezudin menerima kunjungan email dari Lestary menceritakan keadaan sebenar tentang dirinya di tanah Dubai. Cinta yang dijerut seribu rasa rindu kembali mekar bersemi di hati Dafiezudin. Limpahan kesyukuran dipanjatkan pabila Dafiezudin dapat jua menatap wajah gadis yang dicintai di saat dirinya tenat diserang penyakit. Namun siapakah yang menjadi pilihan Lestary. Antara Razrim dan Dafiezudin ternyata hati Lestary lebih memilih penerima derma hati dan jantung ibunya.

Related Posts :



2 comments:

  1. Assalamualaikum tuan rumah. Salam Ramadhan & selamat menyambut aidil fitri. Terima kasih reviuw novel SCL ini. Indah sekali ulasannya, nampaknya tuan rumah benar2 faham apa yang ingin kak ila ceritakan.

    Terima kasih sekali lagi.

    ReplyDelete
  2. saya ada jual novel seharum cinta lestary secondhand..masih kelihatan sgt baru..pm me
    waniviolet@gmail.com

    ReplyDelete

Blog Widget by LinkWithin