
Tajuk Novel : Dalam Kehangatan Dakapan Senja
Karya : Manaf Hamzah
Penerbit : Pustaka Nasional
Terbitan : 2009
Halaman : 786 mukasurat
Harga : 50.00
Dilema seorang gadis…
Perkahwinannya dengan pemuda pilihan sendiri terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir oleh tunangnya. Bagaimanapun, dapat juga Amelia Harun meneruskan perkahwinannya itu. Tapi dengan pemuda lain. Seorang pemuda yang begitu merahsiakan latarbelakangnya yang sebenar…
Dilema seorang wanita…
Meskipun sudah menjadi isteri kepada Karim Iskandar yang misteri, namun Amelia ingin juga dimiliki oleh pemuda lain. Seorang pemuda yang gagah dan berwibawa. Tapi tidak sebangsa dan seagama. Bahkan bekas tunangnya mahu kembali kepadanya. Lantaran membuat Amelia dilanda perasaan berbelah-bahagi ....
Dilema dalam rahsia…
Kehidupan Amelia menjadi tidak menentu, dek dia berhadapan dengan rahsia dan misteri orang-orang sekelilingnya yang dikenali dan disayangi. Tentang watak sebenar arwah ayahnya? Tentang apa yang terkandung dalam diari yang arwah telah tinggalkan. Justeru membuat keluarganya dalam bahaya. Tentang latar belakang suaminya yang beliau begitu rahsiakan? Sesungguhnya, apabila semua jawapan terhurai, Cukup menggegarkan jiwa raga Amelia...
..................................................................................
Dalam Kehangatan Dakapan Senja adalah novel terbaru dari penulis Manaf Hamzah. Di dalam novel ini penulis masih mengekalkan cerita bercorak cinta dan misteri dendam dan pembunuhan. Tentang gaya bahasa, sepertimana novel penulis yang sudah-sudah ternyata agak berlainan sedikit dari gaya penulisan dari Malaysia. Cuma yang agak tidak menyenangkan saya ialah terdapat lebih banyak adegan intim yang digambarkan di dalam cerita ini. Saya harap di novel yang akan datang penulis dapat mengurangkan adegan sebegitu kerana pendapat saya ianya tidak perlu untuk sebuah novel Melayu. Walaupun begitu, novel ini masih kekal menarik dari segi penyusunan watak, cerita, misteri dan persoalan yang ingin dirungkaikan.
Amelia Harun seorang gadis cantik digilai oleh dua orang lelaki sekali gus pabila dia akan dinikahkan dengan tunangnya Zamri. Seorang lelaki tampan dan gagah berbangsa China, Kenneth Chng dan Karim Iskandar, lelaki misteri yang tempang dan berjambang serta berparut di dahi. Perkenalan dengan Kenneth yang dimulai dengan pertengkaran di dalam kapalterbang membuatkan Amelia rimas. Sikap saling ego dan tidak mahu mengalah berlanjutan apabila Amelia dengan tidak sengaja terpaksa bekerja sementara sebagai amah di rumah Kenneth. Kenneth yang sememangnya seorang yang tampan dan berbadan sasa.. (selalu sangat disebut di dalam novel ini) merasa tercabar pabila Amelia tidak sedikit pun menunjukkan tanda-tanda tertawan dengan ketampanannya sepertimana gadis-gadis lain yang pernah ditemuinya.
Selang dua minggu lagi hari pernikahan Amelia-Zamri akan berlangsung Zamri tiba-tiba menarik diri gara-gara terpikat pada perempuan lain. Di saat hati merasa sedih lagi terkejut dengan tindakan Zamri, kehadiran Karim Iskandar menawarkan diri untuk menjadi pengantin lelaki mengharukan Amelia. Walaupun belum berputik cinta untuk bakal suami namun dia berazam agar suatu hari nanti dia akan dapat juga menyintai Karim sepertimana seharusnya.
Belum pun jauh Amelia-Karim melayari hidup berumahtangga, Amelia sudah diduga hati dan cintanya terhadap si suami. Semasa berbulan madu lagi Kenneth datang mengganggu diri dan hati Amelia membuatkan Amelia keliru. Di dalam hati ada sesuatu yang terdetik untuk Kenneth. Seboleh-bolehnya Amelia cuba menafikan pada diri sendiri lantaran dirinya yang sudah pun menjadi isteri orang. Apatah lagi Kenneth adalah berbangsa dan beragama lain. Semakin dinafikan semakin kuat pula runtunan rasa di dalam hatinya untuk Kenneth.
Di dalam kekeliruan menangani masalah hati, Amelia tiba-tiba diculik oleh Lanang yang berhasrat untuk membalas dendam. Dendam Lanang adalah berpunca dari arwah ayah Amelia yang telah belot kepadanya dan Hadi dengan melarikan wang rompakan mereka lima tahun yang lalu. Ayah Amelia, Harun jugalah yang menyebabkan Lanang terpaksa merengkok di dalam penjara. Oleh kerana Harun sudah lama meninggal Lanang berhasrat untuk membalas dendam ke atas warisnya pula. Baginya tidak boleh tidak, dendam harus berbalas.
Bermula di saat inilah semua rahsia demi rahsia dapat dirungkai. Rahsia di sebalik kematian Harun, diari yang ditinggalkannya, status ayah tirinya dan yang paling mengejutkannya ialah siapakah lelaki misteri yang telah dikahwininya selama ini.
Sunday, June 7, 2009
Dalam Kehangatan Dakapan Senja
Sunday, May 31, 2009
Novel-Novel Karya Manaf Hamzah


Ramai yang email bertanya saya di mana mahu mencari novel-novel karya Manaf Hamzah ni. Pada mulanya saya pun tidak tahu mahu mencari di mana. Maaflah pada awalnya saya memang tidak dapat nak menolong. Kerana Buku Aylana dan Dedaun Hijau Di Angin Lalu tu saya beli semasa saya bertugas di Sarawak tiga tahun yang lepas. Sekarang ni bila dah balik ke Semenanjung saya tak pasti pulak mahu mencari di mana novel-novel ni.
Bila saya dapat tahu yang novel terbaru Manaf Hamzah, Dalam Kehangatan Dakapan Senja sudah terbit saya berusaha mencari mana-mana website yang dapat saya hubungi untuk mendapatkan novel tersebut dan saya berjaya mendapatkannya.
Untuk peminat Manaf Hamzah yang berada di Singapura bolehlah melayari website Pustaka Nasional Pte Ltd untuk bertanya lanjut mengenai novel-novel karya beliau. Di sana ada tertera nombor telefon dan alamat email untuk dihubungi.
Bagi peminat yang berada di Malaysia bolehlah menghubungi Pustaka Islamiyah Sdn Bhd yang beralamat email pisb2964@streamyx.com ataupun menelefon terus ke nombor 03-61882964 bercakap dengan Cik Siti Marina untuk bertanya lanjut ataupun membuat tempahan.
Semoga info ini berguna untuk peminat Manaf Hamzah.
Saya ucapkan selamat membaca!
Wednesday, February 18, 2009
Aylana - Manaf Hamzah

Tajuk Novel : Aylana
Karya : Manaf Hamzah
Penerbit : Pustaka Nasional
Terbitan : 2005
Aylana... gadis jelita yang tiba-tiba dirundung malang dan cabaran setelah kematian ayah bondanya. Lantaran membuat dunianya kelam dan disulami oleh tipu daya.
Aylana... diburu oleh seorang pemuda yang seliar helang di awan. Seorang banduan yang mahu menuntut haknya sebagai suami. Walau beliau haru ke hujung dunia sekali pun.
Aylana... Kisah pergolakan dua jiwa berhati batu yang cuba menidakkan perasaan masing-masing. Lantaran harus menempuh pancaroba, kecurangan dan muslihat. Melainkan mereka mampu mengatasi semua dugaan itu, hasrat untuk bersatu dan bahagia mungkin hanya tinggal impian sahaja...
..............................................................................................................
Tak tahu lah pendapat orang lain... tapi pendapat saya novel ini agak kelakar sedikit jalan bahasanya. Ada ketikanya terlalu standard tapi ada juga ketikanya terlalu emosi. Saya keliru apakah saya membaca sebuah novel karya dari Singapura atau pun Indonesia. Mungkin memang begini jalan bahasa novel orang Singapura kut. Agak berbeda sedikit dari bahasa yang digunakan oleh penulis novel tempatan. Namun begitu ceritanya memang menarik.
Kisah berlatar belakangkan negara Turki di abad ke 18. Aylana Nadira yang dipaksa berkahwin dengan seorang banduan, Rugzar setelah kematian kedua orang tua akibat perbuatan ibu tirinya yang jahat. Perkahwinan itu sebenarnya hanyalah satu helah supaya ibu tirinya, Katife Sevki, bersama kekasihnya dapat mewarisi semua harta yang diwasiatkan kepada Aylana.
Ibu tiri dan kekasihnya menyangka bahawa dengan mengahwini Rugzar si banduan itu maka hidup Aylana akan terseksa tetapi yang terjadi adalah sebaliknya. Mereka mengatur strategi lain pula dengan memisahkan mereka berdua. Tetapi jodoh dan kasih sayang yang bersemi di hati masing-masing telah menjadi tersangat kuat. Mereka diketemukan semula.
Novel ini memang tebal.......... dan mahal! Pertama kali melihat ketebalan novel ini saya merasa tidak larat untuk menghabiskannya. Tetapi bila dah mula membaca saya merasa tidak sabar-sabar pula untuk menghabiskannya. Novel ini membuatkan kita hanyut di dalam alam penceritaan yang mengasyikkan di antara percintaan dan ikatan kasih sayang antara Aylana dan Rugzar. Selesai membaca pun saya masih terbayang-bayang dan terkenang-kenang tentang cerita ini. Hebat juga penangan penulis ini ye.. tahniah!
Saturday, February 7, 2009
Dedaun Hijau Di Angin Lalu - Manaf Hamzah

Taju Novel : Dedaun Hijau Di Angin Lalu
Karya : Manaf Hamzah
Penerbit : Pustaka Nasional Pte Ltd
Terbitan : 2002
Seolah kancah kehidupan ini terlalu panjang bagi Intan. Bertenggang dengan orang-orang kampung yang menjangkakan dia anak luar nikah justeru semenjak lahirnya tidak tahu siapa dan di mana ayah kandungnya, maka kehidupan yang dilalui itu sudah pasti dirasakan beranjau. Lebih lebih lagi dirinya terjebak dalam perangkap perkahwinan tangkap basah. Intan lalu dibawa ke kota dan suaminya itu meletakkan taraf dirinya sebagai tukang gaji. Meskipun tidak pernah merasa dicinta dan disayangi, Intan sanggup bersabar dan tabah, bahkan dalam diam-diam bercambah pula kasih sayang Intan kepada anak angkatnya dan semakin menjadalam pula cinta Intan kepada suaminya. Tetapi sampai mana gerangan Intan dapat bertahan dengan sikap menyerahnya itu?
Novel ini memaparkan komplikasi watak manusia yang membawa unsur-unsur percanggahan jiwa seorang doktor muda yang berhati batu dengan seorang wanita yang sentiasa menyerah dan akhirnya mengambil sikap tegas, tetapi ketegasan itu hampir-hampir menjerumuskan dirinya ke dalam jurang kegelapan. Di samping keraguan watak yang mengangkat ciri-ciri simpati dan tipu daya manusia. Umpamanya ibu saudara jatuh cinta kepada anak saudaranya, abang makan adik tirinya, kawan menelan kawan, seorang pemuda jatuh cinta kepada isteri orang dan lain-lain yang berunsur suspense demi suspense.
.................................................................................................................
Sebenarnya dulu saya mempunyai novel ini yang keluaran pertama iaitu tahun 1987. Tetapi bila dah dikasi pinjam orang, tak dipulangkan pulak terpaksa lah saya mencari naskah yang lain. Ini keluaran kedua tahun 2002.
Novel ini adalah novel pertama saya membaca cerita yang sepasang teruna dara ditangkap basah lalu heroinnya dijadikan orang gaji kepada heronya yang panas baran tetapi akhirnya kasih sayang telah menyatukan mereka. Kerana itulah novel ini terlalu melekat di hati saya berbanding dengan novel-novel yang lain yang mempunyai jalan cerita yang sama.
