Friday, July 31, 2009

Cuma Dia












Tajuk Novel : Cuma Dia
Karya : Norzailina Nordin
Penerbit : Alaf 21
Terbitan : 2009
Halaman : 503 mukasurat
Harga : rm19.90


BERTEMU Iqbal merupakan perkara terindah dalam hidup Dalila. Lelaki itu terlalu sempurna di mata dan hatinya. Iqbal kacak, berkarisma dan mempunyai aura yang memikat. Tetapi ada sesuatu yang mencetus rasa curiga Dalila.

Siapa Iqbal sebenarnya? Jejaka itu terlalu perahsia. Entah kenapa, Iqbal ke luar negara hilang tanpa khabar berita. Dalila tenggelam punca. Langkah jejaka itu tidak dapat dijejak. Sendirian dia mengekang kesedihan yang bertandang.

Dipertemukan dengan Hilman oleh si ayah ibarat air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam. Agenda tersirat seorang ayah dapat ditelah. Rupa-rupanya, Hilman adalah anak kekasih lamanya. Namun, Dalila akur jika itu sudah suratan. Apatah lagi Hilman berperibadi mulia.

Lima hari sebelum sah menjadi suri hidup Hilman, Iqbal tiba-tiba muncul di depan mata! Dalila ingin meraung sekuat hati. Tapi dia tidak mampu mengubah keadaan. Dia serba salah.

.....................................................................

Novel ini ada banyak cerita. Banyak watak. Ada kalanya saya terasa pening membaca novel ini. Seringkali terkeliru dan tercari-cari yang mana satu watak hero dan heroin yang sebenarnya. Juga terfikir apakah relevannya sesetengah watak itu diwujudkan. Di samping watak Dalila dan Iqbal, ada juga cerita tentang Ikhwan, Mimi, Yanie, Farish, Nina, Danial, Dewi Ariffah, Vanessa, Meor Hasan, Jenny dan ramai lagi.

Dalila seorang peguam berkenalan dengan Iqbal seorang jejaka yang berjaya mencuri hatinya. Namun Iqbal penuh dengan rahsia dan sering membuatkan Dalila tertanya-tanya. Perasaan curiga Dalila semakin kuat pabila mengetahui yang Iqbal selalu membawa sepucuk pistol bersamanya setiap kali keluar berdating. Di pertemuan terakhir kali sebelum Iqbal berlepas ke Tanzania, Iqbal mencurahkan isi hatinya terhadap Dalila. Pinta Iqbal supaya Dalila menunggu kepulangannya walau seberapa lama jarak masa memisahkan mereka. Dalila kelu.

Ikhwan, adik Iqbal amat menyenangi Mimi tetapi tidak tahu cara untuk mendekati gadis itu. Mimi bersama teman-temannya selalu bertandang ke bistro tempat Ikhwan bekerja untuk makan. Dengan menyamar sebagai Eman akhirnya Ikhwan dapat juga mendekati Mimi. Namun dalam percintaan pasti ada juga dugaannya. Yanie menabur fitnah yang Ikhwan pernah menidurinya dan menginginkannya semasa mereka berada di Bangkok.

Farish, teman serumah Iqbal pula selalu bermain chatting dengan seorang gadis dari Indonesia bernama Dewi Arifah. Setelah beberapa bulan berchatting tibalah masa untuk mereka bertemu dan bertentang mata. Pertemuan di Singapura antara Farish dan Dewi Arifah ditemani oleh Daniel. Ternyata Dewi Arifah adalah seorang gadis yang cantik dan amat memikat hati Farish. Namun siapa menyangka bukan Farish seorang saja yang terpikat dengan Dewi Arifah. Daniel yang akan melangsungkan perkahwinan dengan Nina dalam masa tak sampai sebulan juga jatuh cinta pandang pertama terhadap gadis dari seberang itu. Di antara mereka berdua, Daniel lebih cepat dan berani bertindak dengan memutuskan pertunangan dengan Nina lalu berkeputusan untuk berkahwin dengan Dewi Arifah. Hancur luluh hati Farish pabila kekasih pujaan hati telah disambar orang. Sudahlah begitu Puan Amy pula datang memaki Farish dan meletakkan kesalahan pada Farish sebagai penyebab keluarganya huru-hara. Baginya Farishlah penyebab Daniel berkenalan dengan Dewi Arifah dan berani memutuskan pertunangan dengan Nina.

Ayah Dalila, Meor Hasan, ditakdirkan bertemu semula dengan bekas kekasih lamanya Jenny. Walaupun masing-masing telah berumahtangga dan mempunyai keluarga sendiri tetapi masing-masing masih menyimpan rasa cinta yang disemai dulunya. Pertemuan sulit demi pertemuan sulit dicipta mereka di belakang pengetahuan pasangan masing-masing. Namun Dalila dan Hilman dapat mengagak kelainan dan keceriaan luar biasa yang dipamirkan mereka setiap kali selepas bertemu. Untuk menyambung cinta yang dulunya terputus di tengah jalan, Meor Hasan dan Jenny bercadang untuk menyatukan anak mereka, Dalila dan Hilman dengan ikatan perkahwinan. Dalila serba salah antara menerima Hilman sebagai suami dan menepati janjinya dengan Iqbal. Merata Dalila mencari Iqbal. Samada bertanyakan adik Iqbal, Ikhwan mahupun ke tempat kerja Iqbal tetapi semuanya memberi jawapan yang mengecewakan. Semuanya tidak tahu di mana Iqbal berada dan bila Iqbal akan pulang. Dalila pasrah lalu menerima lamaran Hilman.

Dua tiga hari perkahwinan menjelang tiba Iqbal muncul di pejabat Dalila dengan penampilan yang amat berbeza. Kepayahan dan kesulitan yang telah dialami jelas terpancar di mata Iqbal. Dalila serba salah. Namun keputusan telah dibuat. Kad undangan sudah diedarkan. Majlis tetap berlangsung juga. Dalam terpaksa Iqbal melepaskan Dalila. Namun sehari setelah perkahwinan Hilman-Dalila berlangsung Meor Hasan telah membuat satu pengakuan yang mengejutkan Hilman. Pengakuan yang tidak dapat diterima oleh Hilman. Lalu akhirnya Hilman telah membuat satu keputusan yang mengejutkan semua orang.

Baca Selanjutnya..

Thursday, July 30, 2009

Hidup Penuh Ujian

Sejak kebelakangan ini saya amat merasa keperitan menjalani hidup sehari-hari. Ada-ada saja dugaan yang menimpa. Baik dari masalah kerja, mahupun anak-anak yang semakin galak mengecap nikmat hidup. Seandainya dulu adanya arwah untuk berkongsi masalah terasa juga ringan beban yang digalah. Kini tidak dapat tidak saya terpaksa memamah segalanya sendiri.

Namun kata orang tua-tua, tidak ada hidup kalau tanpa ujian. Ya, betul. Hidup ini memang penuh dengan ujian, baik ujian dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan. Suka mahupun duka. Kenikmatan mahupun keperitan. Dalam konteks agama pula, ujian itu dipanggil "sunnatullah". Tetapi lumrah manusia pabila datangnya kesenangan ianya bukanlah ditafsirkan sebagai ujian. Hanya kepayahan dan kesusahan saja yang membuatkan kita merasa yang itulah ujian.

Sesungguhnya tiada penawar yang lebih baik ketika menghadapi ujian selain dari sabar dan ikhtiar. Kita tidak perlulah mencaci-maki atau menyesali keadaan yang terjadi secara berlebihan sehingga menimbulkan stress. Lari dari masalah yang timbul, tidak dapat menerima kenyataan bukanlah penyelesaian yang bijak. Malah ianya akan menimbulkan masalah yang baru. Seelok-eloknya kita kembalikan semua yang terjadi itu kepada Allah SWT. Sikap yang terbaik adalah dengan mengambil hikmah dari kejadian tersebut sebagai pelajaran berguna untuk menghadapi hari esok. Seterusnya kita berikhtiar untuk menjadi yang lebih baik di masa hadapan.

Dengan ujian, akan diketahui juga siapa orang yang beriman dan tidak beriman. Bagaimana kita menghadapi ujian itu, itulah yang akan menentukan nilai kita di hadapan Allah. Adalah lebih baik sekiranya kita mendekatkan diri kepada Allah setiap kali kita ditimpa dugaan. Ianya malah akan meningkatkan kekhusyukan solat kita dan menambahkan keikhlasan di dalam doa kita. Mintalah keampunan dari Yang Maha Esa. Mintalah petunjukNya dan keredhaanNya. Sekiranya kita bersungguh-sungguh melakukannya, insyaAllah.. kelak Allah akan memberi petunjukNya kepada kita. Wallahu a'lam.



Baca Selanjutnya..

Tuesday, July 28, 2009

Kasih Nan Agung








Tajuk Novel : Kasih Nan Agung
Karya : Sri Rahayu Mohd Yusop
Penerbit : Utusan Publications And Distributors
Terbitan : 2009
Halaman : 172 mukasurat
Harga : rm19.00


Hadiah Sastera Kumpulan Utusan melangsungkan kesinambungan iltizam memasyarakatkan sastera dan memartabatkan kedudukannya di peta tamadun bangsa. Menerusi hadiah ini, Kumpulan Utusan memberi rangsangan untuk menyuburkan pertumbuhan pengarang generasi baharu dan memupuk istiqamah pengarang mapan dalam menghasilkan karya yang segar, maju berseni dan tinggi mutunya.

Kalau moyangmu mawas, datukmu beruk,
siapakah itu Adam dan Hawa?

Mahukah kau dikatai benda
kerana yang ghaib didakwa tiada, dan
kata "Tuhan" dituduh kosong makna?

Hendaknya kau andai wujudmu ditarafkan setara barang
umpama sepasang baju atau sebatang pokok
atau sebuah komputer atau sebutir bom
atau seketul daging, semata-mata?

Fitrah manusiawimu tentu dapat menimbang
di balik otak ada akal, di balik jasad ada jiwa
dan di hujung hidup ada fana.

Tidakkah kasihan,
otak nan cerdik sampai merumuskan
jurai leluhurmu berevolusi daripada salasilah kera!

............................................................

Novel yang sangat menarik ini bukanlah novel cinta yang mendayu-dayu. Ianya sebuah novel yang meransang minda setiap pembaca untuk berfikir dari manakah asal usul kejadian kita yang sebenarnya. Semestinya bukan dari keturunan sejenis spesis binatang yang dipanggil kera!.. atau yang seangkatan dengannya.

Jaka Sulaiman tidak dapat menerima penghinaan tentang fahaman agamanya di dalam satu simposium para ilmuan yang pro evolusi Darwin. Memang memualkan bila masyarakat yang serba serbi canggih dengan teknologi terkini telah meletakkan taraf manusia serendah jirim. Anggapan mereka semua yang hidup akan ada tarikh luputnya. Kewujudan roh dan Maha Pencipta tidak dapat diterima atas alasan tidak dapat dipandang oleh mata kasar lalu bentuk jirimnya tidak terdapat. Keadaan menjadi kecoh pabila sessi pembentangan oleh Maximillian yang menyimpulkan manusia dan mawas adalah dari spesis yang sama. Ditambah lagi dengan pembentangan seterusnya oleh Richard Le Frost yang membawa tajuk 'Tamatnya Riwayat Sang Pencipta' membuatkan Jaka Sulaiman panas lalu bangun untuk berdebat. Namun akhirnya Jaka Sulaiman dipaksa keluar dewan. Kejadian panas di dalam dewan itu sempat dirakam oleh Wazir lalu dimuat naik ke dalam internet untuk tatapan umum.

Maximillian yang marah dengan Jaka Sulaiman telah mengusahakan agar Jaka Sulaiman juga disingkir dari kampus pengajiannya. Nasib masih menyebelahi Jaka pabila setelah berunding dengan Prof Chris Ackerley dia hanya digantung selama dua minggu sahaja.

Di kampung halaman, Kampung Buluh Rapat didatangi oleh Yazed, ahli poleoantropologi bebas yang bertujuan ingin memburu orang mawas. Sememangnya kampung itu telah kecoh dengan penemuan satu lembaga yang menyerupai mawas berkeliaran di dalam kawasan hutan berhampiran. Mungkin ala-ala big foot agaknya. Kehadiran Yazed untuk membuat kajian di kampungnya tidak disenangi oleh Awang Safar, ayah Jaka Sulaiman. Sementalah lagi bila mengetahui bahawa Yazed cuba membuktikan teori Darwin adalah benar. Jaka dipanggil pulang ke tanahair untuk menangani isu ini di samping untuk menjelaskan kepada ibunya kenapa dia digantung kelas. Di waktu yang sama Maximillian juga telah berlepas ke Kampung Buluh Rapat untuk menemui anak perempuannya, Evangeline.

Evangeline, pelajar USM, hadir di kampung Buluh Rapat adalah untuk menjalankan projek mengajar teknik CPR kepada penduduk kampung di situ. Siapa sangka di tanah tempat tumpah darahnya Jaka akan bertemu lagi dengan Maximillian. Mengetahui saja keberadaan Maximillian dan Yazed di kampungnya untuk menjejak orang mawas Jaka bertindak untuk menghalang mereka. Pergelutan berlaku apabila Jaka Sulaiman cuba melepaskan orang mawas yang ditangkap oleh Maximillian dari karung. Dalam keadaan hutan yang gelap dan hampir tidak nampak, Maximillian telah melepaskan tembakan mengenai Jaka. Setelah menyedari Jaka ditembak dan dia mungkin dituduh membunuh, Maximillian kaget dan kaku. Evangeline bertindak melepaskan orang mawas dari karung tersebut. Bila saja ikatan karung dibuka sepantas kilat orang mawas itu melompat dan melarikan diri ke dalam hutan tebal dan gelap. Baik Jaka, Evangeline mahupun Maximillian, tiada siapa yang dapat melihat dengan pasti rupa dan wajah orang mawas itu.


Baca Selanjutnya..

Sunday, July 26, 2009

Puisi Merindu Buku

Kesibukan dan keletihan dengan tugas harian menjadikan saya begitu rindu pada buku-buku yang selama ini menjadi teman paling rapat bagi saya. Teringat saya pada sebuah puisi nukilan Sasterawan Negara. Puisi tersebut pernah dideklamasikan oleh putera saya di Minggu Membaca sekolahnya. Puisi ini jugalah yang telah membuka minda putera saya untuk menjadikan buku sebagai teman di setiap masa. Sekarang ini ke mana saja dia pergi di tangannya mesti akan dibawa sebuah buku untuk tatapan sekiranya ada masa terluang. Dan... baru saya perasan dua tiga hari yang lepas, di belakang mukasurat buku-buku yang dibacanya, dia akan menulis rangkap terakhir puisi ini.

Merindu Buku
Inilah denai jejak seni ke hati
Puncak fikir yang indah sekali.
Tanpa himpunan ilmu di kalbu buku
kita tak sempat sampai ke mercu itu.

Di sini diri sentiasa di taman
menikmati unggas dan puspa menawan;
di sinilah vista buku saraf seni,
meranum akal mematang peribadi.

Kita wajar berpesta di kalbu buku
menghayati nikmatnya seindah syahdu;
dalam tenang waktu khusyuk di pustaka
lebih cepat kita terasuh dewasa.

Buku adalah denyut nadi utama
penting bagi minda waras manusia;
dan buku juga gema fikir yang sakti
nyaman dan manisnya sebuah simfoni.

Kita memupuk insan yang kaya budi
melalui tapisan hikmah berseni;
dan buku memang tasik aneka ilmu
yang perlu diselami sejujur kalbu.

Buku mengasuh diri sasa bersuara;
membaca menjadi jambatan bertuah.
Kita merindu buku dan ghairah membaca
agar sentiasa canggih dan berhemah.

dipetik dari buku puisi Rindu Ibu - A Samad Said.





Baca Selanjutnya..

Tuesday, July 21, 2009

Curahan Cinta Niagara










Tajuk Novel : Curahan Cinta Niagara
Karya : Maya Iris
Penerbit : PTS Litera Utama
Terbitan : 2007
Halaman : 576 mukasurat
Harga : rm26.00


Kita sering kali bertanya, "Kenapa aku tidak dapat apa yang aku idam-idamkan? Quran menjawab, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagimu. Boleh jadi kamu menyayangi sesuatu padahal ia buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." Surah al-Baqarah, ayat 216.

...................................................................................................

Melihat pada tajuknya pasti ada menyangka yang ianya sebuah novel cinta. Nyatanya ia adalah sebuah novel cinta tetapi berbentuk islami. Sepertimana novel Ayat-ayat Cinta, Bukan Yang Pertama, Tautan Hati dan juga Salju Sakinah. Novel ini sarat dengan pengertian, motivasi dan nasihat berguna dalam membina jatidiri sebagai muslim sejati. Selitan hadis dan ayat-ayat al Quran untuk menguatkan lagi hujah dan nasihat dengan cara tersendiri membuatkan pembaca merasa seperti bukan membaca khutbah. Untuk novel Islami ini penulis membuat pendekatan mengenai kepentingan institusi perkahwinan. Namun saya merasa novel ini tidak sesuai untuk dibaca oleh golongan remaja. Hanya sesuai untuk golongan tertentu saja memandangkan penulis ada menyerapkan adegan-adegan separa intim.

Mira yang dibesarkan tanpa kasih sayang seorang ayah akibat dari kegagalan sebuah perkahwinan berjaya melanjutkan pelajaran ke New York. Di sana Mira menjadi perhatian Faris dan Farhan, anak hartawan. Faris adalah seorang playboy sementara Farhan sebagai abang selalu mengalah terhadap kemahuan adiknya. Tujuan Faris ialah untuk memiliki Mira sepertimana dia memiliki gadis-gadis lain. Namun Mira bukanlah calang-calang gadis untuk dia berseronok. Penolakan Mira mengubah persepsi Faris terhadap gadis itu. Faris nekad untuk menawan hati Mira walau dengan apa cara sekalipun. Malang bagi Faris apabila akhirnya dia terlibat di dalam kemalangan yang menyebabkannya lumpuh. Timbul rasa kasihan di hati Mira melihatkan Faris yang sudah tidak sempurna. Dengan hati yang rela dia mengahwini Faris.

Dugaan hidup Mira baru bermula pabila rumahtangganya diuji dengan berbagai cobaan. Faris bertukar menjadi bengis dan pemarah akibat dari kecacatan yang dialaminya dan tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebenar sebagai seorang suami. Kebencian mertua terhadap Mira juga membuatkan hidup Mira tambah sengsara. Mira cuba untuk pasrah dan redha dengan dugaan yang menimpa. Setelah kematian Faris Mira dikejutkan dengan amanat yang ditinggalkan oleh Faris iaitu supaya Mira dinikahkan dengan Farhan. Hendak tak hendak Mira menerima Farhan sebagai suaminya.

Sungguh sulit untuk menjalani hidup bersama Farhan apabila dirinya dicurigai dan Farhan sering dibayangi kenangan silam. Berkat doa dan kesabaran serta dengan niat yang ikhlas, lama kelamaan rumahtangga mereka menemui kebahagiaan jua. Namun kehadiran Azrin membuatkan mereka sekali lagi diuji. Sesungguhnya Allah tidak akan berhenti menguji hamba-hamba yang disayangiNya....

Baca Selanjutnya..

Monday, July 20, 2009

Aku, Dia & Coklat









Tajuk Novel : Aku, Dia Dan Coklat
Karya : Lily Haslina Nasir
Penerbit : PTS Litera Utama
Terbitan : 2009
Halaman : 309 mukasurat
Harga : rm16.00

Kata Puteri Rania, coklat itu menggerunkan! Nasihat Khadijah, kalau mahu badan cantik jangan makan coklat. Tapi bagi Zaza, bukanlah coklat itu lambang cinta! Coklat itu ubat untuk awet muda.

Sang jejaka idaman, si Fariz hadir di kolej menjadi jejaka pujaan ramai. Zaza jatuh cinta! Sanggupkah Zaza makan hany dua sudu nasi dan mengunyah tomato atau epal setiap hari semata-mata untuk Fariz? Bukankah selama ini Zaza makan coklat hingga lima kali sendawa!

Hati Zaza mahukan coklat! Tapi jiwanya mahu memiliki Fariz. Maliz dan Asyikin, racun dalam hidup Zaza, tiba-tiba merancang sesuatu. Siapa menang dalam pertarungan merebut perhatian Fariz? Apa terjadi apabila Zaza terbaca komen dan catatan di blog ibu Fariz, Puan Faridah?

Antara coklat dan Fariz, yang mana raja di hati Zaza?
............................................................................................................

Saya hairan melihat puteri saya terkekeh ketawa pabila setiap kali menatap buku ini. Apalah sangat yang menggelikan hati tu. Dan satu lagi perkara yang memang aneh ialah puteri saya membaca novel itu sambil mengunyah coklat! Tidak pernah-pernah dibuatnya tabiat sebegini. Bila saya memandang penuh kehairanan dia akan tersengih sambil berkata, "coklat ni sedap, ma!" Hairan sungguh. Setelah puteri saya khatam membaca barulah saya pun turut sama membelek novel ini.

Novel ini mengisahkan tentang Zaza seorang penggemar coklat yang kritikal. Akibat terlebih makan coklat berat badannya membesar dan selalu menjadi ejekan teman-teman sekuliahnya. Maliz, Asyikin dan beberapa pelajar lelaki yang lain entah kenapa sejak dari dulu lagi membenci Zaza terus mengejeknya dan menjadikan Zaza sebagai bahan lawak jenaka. Untuk itu Zaza rela tidak menjamah nasi selama seminggu kononnya untuk menguruskan badan tetapi tidak sanggup pula berpisah dengan coklatnya walaupun seminit. Pendekata coklat adalah oksigen bagi Zaza. Ke mana dia pergi coklat pasti berada di dalam poket seluarnya mahupun di dalam mulutnya. Bila kawan-kawan komplen tentang berat badannya yang semakin bertambah pandai pula dia mengatur hujah mengatakan coklat adalah untuk kesihatan. Info di internet menjadi sasaran back-up hujah-hujahnya kepada Puteri Rania, Khadijah dan Insyirah membuatkan mereka hanya dapat menggelengkan kepala.

Sehinggalah si jejaka tampan Fariz muncul di Kolej Persediaan Pendidikan mereka, Zaza seolah-olah telah jatuh hati padanya. Mulalah Zaza mencari idea untuk menawan hati Fariz dan bertanya teman-teman baiknya tentang cara memikat hati lelaki. Puteri Rania memberi cadangan bahawa langkah pertama untuk memenangi hati lelaki adalah dengan menguruskan badan. Kuruskan badan lagi! Berat hati Zaza untuk meninggalkan coklatnya semata-mata untuk seorang jejaka. Tetapi dek kerana insiden kerusi patah di restoren dan terlanggar deretan buku di sebuah kedai buku membuatkan Zaza menjadi takut dengan berat badannya yang semakin bertambah. Lucu betul. Namun di sebalik rancangannya untuk menawan hati Fariz, Asyikin dan Maliz juga mengatur rancangan sendiri untuk mengenakan Zaza. Jahat betul mereka!

Garapan penulis yang bersahaja dan santai memang membuatkan pembaca dapat menghayati watak Zaza yang lucu dan naif sepenuhnya. Namun ada kalanya saya merasa Zaza dan teman-temannya ini adalah budak-budak sekolah belasan tahun dan bukannya penuntut kolej yang berusia dua puluh tahun. Mungkin kerana perangai Zaza yang digambarkan sebagai seorang yang tulus ikhlas dalam berbicara dan mudah dipersendakan kawan-kawan. Banyak adegan lucu yang mencuit hati serta info berkenaan dengan coklat yang boleh dijadikan rujukan dan panduan kepada semua remaja dan penggemar coklat. Dengan jalan cerita yang tidak berat tetapi penuh nasihat memanglah novel ini sesuai sangat dibaca oleh kalangan remaja. Bahkan saya yang sudah menjadi ibu kepada seorang awal remaja juga merasa terhibur. Khabarnya penulis akan menulis cerita susulan pula untuk rakan-rakan serumah Zaza iaitu Puteri Rania, Khadijah dan Insyirah. Bila agaknya ia boleh dibaca ye. Tentu sangat menarik.


Baca Selanjutnya..

Tuesday, July 7, 2009

Pewaris Senja Bahagian II










Tajuk Novel : Pewaris Senja Bahagian II
Karya : Remy Ikmal
Penerbit : KarnaDya
Terbitan : 2009
Halaman : 265 mukasurat
Harga : rm 16.90

Fuad terpaksa merahsiakan dariapda pengetahuan isterinya, Raihana tentang 'pewaris' yang berada dalam keturunan dia dan Pak Ngah Ghani yang semakin menjadi-jadi. Kini 'dia' mula menjelma menuntut perjanjiannya. Anak kembar lelakinya pula menjadi mangsa. Fuad dan Pak Ngah Ghani semakin bingung.

Semenjak kedua anak kembar Fuad dibawa balik ke rumah, pelbagai peristiwa aneh telah berlaku. Mustahil seorang bayi kecil yang masih belum berusia sebulan mampu berkata-kata dan melampiaskan amarahnya!

'Pewaris' terus membuat onarnya. Rahsia yang disimpan oleh Fuad dan Pak Ngah Ghani terbongkar juga akhirnya. Misteri yang selama ini menghantui kehidupan mereka semakin menggila. Tiada siapa yang dapat membantu. 'Pewaris' itu tetap mahukan haknya!
..........................................................

Kesinambungan novel Pewaris Senja ini tidak banyak beza olahan ceritanya dari Pewaris Senja Bahagian I. Fuad masih lagi berahsia tentang saka yang diwarisinya turun temurun. Semakin didiamkan saka tersebut semakin bertindak ganas. Kali ini saka itu seolah-olah hidup di dalam anak lelaki Fuad yang baru dilahirkan. Keanehan yang terjadi terhadap anak lelakinya itu disaksikan sendiri oleh Fuad dan Raihana tetapi mereka mengambil keputusan untuk berdiam diri sahaja. Namun saya merasa pelik dengan keadaan Raihana yang digambarkan baru lepas bersalin tetapi tetap gagah untuk berjalan ke sana ke mari dan naik turun tangga. Kuatnya Raihana!

Borhan dan Jamil yang sejak dulu memusuhi Pak Ngah Ghani pula memasang perangkap untuk mengenakan orang tua itu. Pak Ngah Ghani dan Mak Cik Hasnah ditangkap berkhalwat lalu dinikahkan. Sudahlah begitu mereka memfitnah pula Pak Ngah Ghani menghantar jembalang untuk menggoda Mak Cik Hasnah. Hal ini menimbulkan kemarahan Ishak.

Setelah kejadian demi kejadian berlaku yang membawa kepada kematian anak lelaki Fuad akhirnya Haji Ismail dapat juga mengesan tentang saka yang sedang bermaharajalela. Raihana juga sudah separuh nanar dilanda kesedihan akibat kematian anak tersayang. Setelah melihat keadaan Raihana sudah tidak boleh dikawal lagi Haji Ismail telah meminta pertolongan dari Ustaz Rahman untuk mengubati anaknya dan sekali gus membuang saka yang telah sekian lama berdamping dengan mereka. Setelah sekian lama tidak dapat membuang saka itu tetapi di akhir cerita senang pula digambarkan Ustaz Rahman melakukan upacara pembuangan saka tersebut. Keliru juga saya dibuatnya. Namun syurkurlah pabila semuanya berakhir dengan selamat.

Baca Selanjutnya..

Monday, July 6, 2009

Turki Negara Dua Wajah










Tajuk Buku : Turki Negara Dua Wajah
Penulis : Dr. Abdullah Azzam
Penerbit : Alam Raya Enterprise
Terbitan : 2009 (Cetakan Keempat)
Halaman : 154 mukasurat
Harga : rm 18.00

Turki pimpinan Kamal Ataturk, menjauhkan Islam dari kepemimpinan hidup manusia. Negara dua wjah ini adalah bencana yang paling dahsyat dalam sejarah manusia dan kemanusiaan. Meminggirkan agama (deen) ini dari fungsinya sebagai pedoman dan petunjuk jalan kehidupan manusia adalah tikaman yang paling memedihkan dan menusuk jantung umat.

Sesungguhnya, kesengsaraan dan nasib malang yang menimpa pada diri manusia, khasnya pada keluarga serta masyarakat pada amnya, adalah natijah dan hasil yang alami serta buah yang buruk akibat dilenyapkan Al Quran dari singgahsana kehidupan yang universal serta pandangan hidup yang menyeluruh.

Sesungguhnya kebingungan, kehilangan, kegagalan dan kesempitan yang menyelubungi kehidupan manusia seluruhnya adalah perbuatan dari tangan-tangan jahat yang digerakkan oleh musuh-musuh yang hina (terutamanya orang-orang Yahudi).

Mereka meruntuhkan bangunan yang agung ini dan merobohkan menara yang menjadi petunjuk jalan bagi generasi Islam serta memusnahkan lembaran besar mengenai kebenaran, kepahlawanan dan keluhuran yang dinukilkan kaum Muslimin dengan jihat dan amal salehnya selama tiga belas abad.

Bagaimana bangunan ini runtuh? Bagaimana menara cahaya dan penyuluh itu dirobohkan? Bagaimana negara Islam yang gemilang, iman dan ketamadunan luhur itu hilang? Bagaiamana pula kekhlifahan itu runtuh?

Buku ini mengupas seluruh upaya Yahudi untuk meruntuhkan kekhalifahan Islam terakhir melalui bonekanya yang dikenal sebagai Mustapha Kamal Ataturk - sang manusia berhala yang berjiwa serigala.

Baca Selanjutnya..

Thursday, July 2, 2009

Street Vendetta











Tajuk Novel : Street Vendetta
Karya : Mazni Aznita
Penerbit : Buku Prima
Terbitan : 2009
Halaman : 636 mukasurat
Harga : rm 19.90

Mungkin inilah takdir aku! Sampai bila-bila pun aku takkan berjaya memperolehi cinta yang aku harap-harapkan, bisik Kojie sambil menarik nafas panjang. - Kojie

Lidah Anabella serta merta kelu seribu bahasa. Tatapan mata Fakruzi membuatkan dia berada dalam keadaan serba salah dan bingung. This is totally a mess. Takkan dalam sekelip mata, Fakruzi boleh menyukainya! - Anabella

"Maafkan aku Kojie kerana hanya baru sekarang aku cuba mengenali siapa kau yang sebenarnya. Baru sekarang aku cuba menggali semula wajah yang hilang dari ingatan aku." - Anabella

Tidak! Dia mungkin hilang dirinya, tapi dia tidak boleh kehilangan Anabella. Meskipun dia tidak ingat siapa Anabella sebelumnya, dia tidak ingat tentang pengalaman yang ditempuhinya bersama Anabella ke Cherating seperti yang diceritakan gadis itu padanya dulu namun ada sesuatu yang dia benar-benar pasti. Sesuatu yang memberi kekuatan dalam dirinya. Dia pasti - Fakruzi

"Itu sajakah yang kau nak cakap pada aku? Setelah selama ini kau permainkan aku macam orang bodoh. Kau tahu aku merindui kau, tapi kau hanya berpeluk tubuh. Kau biarkan aku tertanya-tanya dan macam orang gila memikirkan siapa kau dan siapa Fakruzi." - Anabella

*****************************
Sinopsis dari blog penulis:
Anabella si gadis hipokrit bermata duitan yang gemarkan kekayaan dan gemarkan status. Kojie, si jejaka selekeh..bergaya punk dan sukakan kesederhanaan. Bila kedua-duanya bertemu, dunia seakan mahu runtuh. Kerana sebuah kereta, kedua-duanya dipertemukan dalam situasi aneh. Kerana mengejar sebuah cinta, kedua-duanya saling cuba memahami.

Cinta Anabella pada Iqbal membawanya ke Cherating ditemani Kojie, si selekeh yang baik hati. Misi Anabella cuma satu, mahu merebut Iqbal dari tangan si Tumirah Kuncup aka Mira. Namun di sana dia mula memahami sesuatu yang cinta monyet sewaktu remajanya tidak lagi sama seperti yang diharapkannya.

Perpisahannya terakhirnya dengan Kojie di Cherating entah kenapa sering membuahkan rindu. Anehnya bila dia bertemu Fakruzi, si jejaka tampan yang memiliki iras senyuman Kojie, Anabella mula dihimpit keliru. Siapa Kojie? Siapa pula Fakruzi? Semuanya akan terjawab di dalam Street Vendetta. Love is always a beautiful things in our heart. Sweet and Sour!!
.............................................................
Karya dari penulis novel cinta yang sedang meningkat naik, Anita Aruszi atau Mazni Anita, ini agak lain sedikit berbanding dengan karyanya yang sudah-sudah. Cerita ini berbentuk kisah cinta humor bercampur misteri. Jalan bahasa yang agak sempoi pasti menarik peminat-peminat novel cinta dari kalangan remaja. Membuatkan pembaca bisa tersenyum dan mungkin tertawa berdekah-dekah membaca novel ini. Sesekali saya merasa seperti membaca novel chick lit inggeris pulak. Apatah lagi bila penulis mewujudkan watak Anabella yang agak 'daring' dan licik dan Kojie yang ala-ala brutal pada awalnya. Di samping itu ada juga watak mistik iaitu Nenek Telangkai. Walau bagaimanapun terkadang saya rasa ada juga adegan yang agak tidak logik ditampilkan dan kurang berkesan humornya. Contohnya seperti airmata Anabella yang mengalir seperti paip air dan budak lelaki yang tersangkut di kaki Kojie. Memandangkan ini adalah percubaan pertama maka ianya boleh dimaafkan. Mungkin lain kali penulis dapat memperbaiki lagi kelemahan yang ada.

Taktik licik separuh 'gila' Anabella demi untuk mengelak dari kereta Waja Cam Pronya ditarik oleh si penarik kereta, Kojie, memang kelakar. Sudah banyak kali Kojie kena tipu dengan Anabella. Lelaki punk dan ala-ala ganas seperti Kojie boleh terpedaya dengan tipu helah si gadis kecil molek seperti Anabella? Hahaha.. Nak tergelak rasanya. Lalu akhirnya di suatu hari dia menyusup masuk ke dalam kereta Waja Anabella memandangkan di ketika itu hujan mulai turun dan kebetulan kereta tidak berkunci. Mulai dari sini berlakulah insiden-insiden yang mencuit hati.

Di pertengahan jalan ke Cherating mereka menumpangkan seorang nenek yang ketinggalan bas untuk pulang ke rumahnya di Gebeng. Entah kenapa Anabella merasa kurang senang dengan kehadiran nenek itu bersama mereka. Mungkin ada sesuatu tentang nenek itu yang menyeramkan Anabella. Sampai di Cherating alangkah terkejutnya Anabella dan Kojie pabila mereka berjumpa dengan pemilik resort yang rupa parasnya sama dengan nenek yang menumpang kereta mereka. Misteri sungguh!

Pertemuan antara Iqbal dan Anabella akhirnya merungkaikan satu rahsia yang selama ini disorok oleh Mira. Kiranya Mira ni seorang yang boleh diibaratkan sebagai kawan makan kawan dan bagaikan gunting dalam lipatan. Mira mahukan Iqbal untuk dirinya walaupun selama ini Mira mengetahui Iqbal menyintai Anabella. Pertunangan Iqbal-Mira akhirnya dibatalkan. Pada awalnya Anabella memang bertujuan untuk mencurahkan hasrat hatinya yang selama ini terpendam untuk Iqbal. Tetapi setelah melalui berbagai peristiwa bersama Kojie dalam perjalanan ke Cherating sedikit sebanyak telah merubah gerak hatinya. Pada siapa sebenarnya hati Anabella ingin diserahkan? Di saat Iqbal mula menyintai dirinya hati Anabella tiba-tiba teringatkan Kojie.

Kojie pula panas dingin melihat keintiman perhubungan Anabella-Iqbal. Entah kenapa hatinya amat terusik pabila mengetahui Iqbal sanggup membatalkan pertunangannya dengan Mira semata-mata kerana ingin memiliki Anabella. Lambat mengambil tindakan akhirnya mahu atau tidak Kojie terpaksa merelakan Anabella pergi bersama Iqbal meninggalkan dia sendirian di Cherating. Di saat Kojie dilanda kekecewaan, muncul Nenek Telangkai menasihatinya supaya pulang ke KL dan menunggu Anabella di sana.

Berbulan tidak berjumpa dan tidak mendapat khabar berita dari Kojie, Anabella masih mengenangkan lelaki itu. Insiden kecurian dompet menemukan Anabella dengan seseorang yang begitu mirip sekali dengan Kojie. Hampir terpana Anabella menatap Kojie yang telah berubah total penampilan dirinya. Malangnya lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Fakruzi, bukannya Kojie. Namun di mata Anabella dia sangat yakin bahawa lelaki itu ialah Kojie. Sudah beberapa kali Anabella cuba meyakinkan bahawa Fakruzi adalah Kojie dan mereka pernah bertemu tetapi seakan-akan Fakruzi blur dan tidak tahu apa-apa. Kenapa Kojie bebuat begitu? Apa yang sudah berlaku kepada Kojie? Jeng jeng jeeeng... kata penulis ini di blognya, belilah novel ini kalau ingin mengetahui kisah selanjutnya. huhuhu....

Baca Selanjutnya..
Blog Widget by LinkWithin